03 July 2010

Insentif Ubah Suai Hotel

Reproduced from http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Insentifubahsuaihotel/Article/index_html

PERSATUAN Pemilik Hotel Malaysia (Maho) mengharapkan kerajaan agar meneruskan kempen penjenamaan Malaysia dan memberikan insentif seperti pelepasan cukai kepada pengusaha hotel yang melakukan ubah suai dalam usaha menarik lebih ramai pelancong menginap lebih lama di Malaysia.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata hampir 70 peratus daripada 160 hotel yang menjadi ahli Maho berusia lebih lima tahun dan memerlukan proses ubah suai dan baik pulih.


“Jumlah yang diperlukan untuk proses ubah suai dan baik pulih menelan belanja besar iaitu antara RM40 juta hingga RM100 juta atau RM150,000 untuk satu bilik.


“Maka, dengan jumlah perbelanjaan sebesar itu, kami perlukan sokongan kerajaan untuk memberi insentif seperti pemotongan cukai kerana pada akhirnya ia akan memberi keuntungan kepada kerajaan dan semua rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, proses ubah suai dan baik pulih tidak boleh dipandang ringan kerana ia melambangkan imej Malaysia secara keseluruhan.


“Sebelum ini, kerajaan mempertikaikan mengapa pemilik hotel enggan menaikkan kadar harga namun kami menganggap bahawa masanya belum tiba dan banyak perkara perlu dilakukan sebelum kadar penginapan di hotel dinaikkan,” katanya.


Abdul Aziz berkata, pihaknya mengakui bahawa kadar penginapan hotel di Malaysia adalah yang paling murah di Asia Tenggara.


“Jika dibandingkan dengan Singapura, kadar harga untuk hotel lima bintang di negara berkenaan adalah RM766 berbeza dengan di Malaysia hanya RM320.


“Malah, beberapa negara terdekat seperti Vietnam, Myanmar dan Indonesia tanpa disedari semakin mengejar Malaysia dalam industri pelancongan,” katanya.


Menurutnya, kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam mengawal kemunculan dan pembinaan hotel baru sebaliknya memberi peluang hotel sedia ada menambah jumlah pelanggan kerana kadar penginapan hotel di Malaysia hanya 62 peratus sepanjang tahun berbanding di negara lain iaitu 80 peratus.

No comments:

Post a Comment